PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memaklumkan sebanyak 23 bangunan hospital berusia lebih 50 tahun di negara ini akan diselenggara serta menjalani proses naik taraf bagi mengelakkan kejadian kebakaran berulang.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, bagi peringkat awal, pihaknya sudah mengenal pasti 11 hospital termasuk Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dan Hospital Tuanku Jaafar, Negeri Sembilan yang sedang menjalani proses naik taraf tersebut.
“Kerja menaik taraf ini memerlukan kos yang tinggi dan bagi bangunan hospital kita sudah ada jawatankuasa pemantau melibatkan pihak Kementerian Kesihatan dan beberapa agensi lain.
“Ia bukan sahaja memastikan kelengkapan peralatan bomba tetapi merangkumi struktur bangunan, komponen-komponen lain melibatkan bekalan air dan saluran gas,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Istiadat Pengurniaan Pingat Kebesaran JBPM di sini hari ini.
Beliau berkata, peruntukan sudah disediakan oleh pihak kerajaan dalam kerja menaik taraf tersebut dan proses itu sedang berjalan dengan memberikan tumpuan kepada bangunan hospital terlebih dahulu.
Menurutnya, sekiranya masih berlaku kejadian kebakaran di hospital dalam tempoh penambahbaikan itu, jelas beliau, pihak JBPM senantiasa memastikan kesemua bangunan lama tersebut mematuhi tiga aspek penting.
“Pertama, sistem pencegahan kebakaran, pasukan tindakan kecemasan (ERT) serta penyelenggaraan bangunan yang baik,” katanya.
Tambah beliau lagi, sebanyak 6,000 bangunan di seluruh negara yang memiliki sijil Perakuan Bomba (FC) termasuk status permohonan yang sedang diperbaharui. -UTUSAN