KUALA LUMPUR – Berikutan peningkatan kes penularan wabak Covid-19 yang melanda negara, semua masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan disaran melaksanakan solat hajat supaya dilindungi dan dihindari daripada penularan wabak berkenaan.
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Mohd. Ajib Ismail berkata, solat hajat itu akan diadakan selepas solat Maghrib selama tiga hari berturut-turut mulai hari ini sehingga Jumaat.
Katanya, ia melibatkan masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Marilah kita semua terus berdoa dan bermunajat agar Allah SWT sentiasa melindungi negara Malaysia tercinta daripada wabak merbahaya ini, mengurniakan kesembuhan kepada semua yang telah dijangkiti serta mempermudahkan urusan semua pihak bagi mendepani ujian ini,” katanya.
Semalam, negara mencatatkan 691 kes positif Covid-19, jumlah tertinggi dalam sejarah penularan wabak berkenaan di negara ini.
Jumlah kumulatif keseluruhan penularan wabak itu adalah sebanyak 12,813 kes dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 2,336 kes.
Antara yang turut disahkan positif Covid-19 ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkilfi Mohamad Al-Bakri.