'Jauh di mata, dekat di hati' - Utusan Malaysia

‘Jauh di mata, dekat di hati’

SEORANG rakyat Malaysia, Mohd. Izwan Sarip hanya mampu melihat isteri dan anak-anaknya di salah satu lokasi di Singapura.-GAMBAR FACEBOOK MOHD. IZWAN SARIP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Jauh di mata, dekat di hati.”  Demikian peribahasa yang boleh digambarkan terhadap satu video tular yang membabitkan seorang pekerja Malaysia di Singapura dengan keluarganya di sini.

Setelah berjauhan lebih tujuh bulan setelah pintu sempadan Malaysia dan Singapura ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka akhirnya dapat ‘bertemu’ meskipun perairan Selat Tebrau memisahkan mereka sekeluarga.

Menerusi satu hantaran video dalam akaun Facebook milik Mohd. Izwan Sarip, lelaki itu hanya mampu melihat isteri dan anak-anaknya dari satu lokasi di Singapura manakala keluarganya di sini pula dipercayai berada di belakang satu pusat membeli-belah berhampiran Tambak Johor.

“Di mana awak, di mana awak,” kata lelaki itu kepada isterinya menerusi satu panggilan video ketika mereka cuba ‘bertemu’ dari lokasi berbeza.

“Saya di sini pakai baju hitam, awak nampak tak? Hai papa!” balas isterinya.

Rakaman video itu juga dikongsi oleh seorang pemilik akaun Facebook yang dipercayai mempunyai kaitan persaudaraan dengan lelaki berkenaan.

Hantaran video tersebut yang disaksikan lebih ribuan tontonan menyebabkan ramai netizen sedih dan simpati terhadap situasi berlaku khususnya melibatkan ribuan rakyat Malaysia bekerja di Singapura apabila mereka kini terpaksa meninggalkan keluarga tersayang demi mencari sesuap nasi.

Dipercayai kira-kira 100,000 rakyat Malaysia kini tinggal sementara di Singapura ekoran penutupan pintu sempadan antara kedua-dua negara sejak Mac lalu dan sepanjang tempoh itu, mereka tidak pulang untuk bertemu dengan keluarga disayangi.

Meskipun Kerajaan Malaysia dan Singapura memperkenalkan inisiatif Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) iaitu pergerakan keluar masuk sempadan, namun mereka perlu melalui prosedur ketat termasuk wajib menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan kuarantin selama 14 hari.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad sebelum ini berkali-kali merayu kepada Kerajaan Pusat agar mempertimbangkan untuk membuka semula sempadan Malaysia-Singapura pada kadar segera khususnya para pekerja Malaysia berulang-alik ke negara itu.

Sebelum PKP dilaksanakan, kira-kira 300,000 rakyat Malaysia berulang-alik ke republik itu pada setiap hari untuk bekerja. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN