SHAH ALAM: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membenarkan upacara akad nikah dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 2 November hadapan.
Bagaimanapun, pelaksanaan akad nikah itu hanya dibenarkan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) seluruh Selangor dengan kehadiran dan jumlah temu janji yang terhad.
Pengarahnya, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran akad nikah itu tertakluk kepada enam syarat termasuk hanya tiga orang sahaja dibenarkan hadir untuk akad nikah iaitu pengantin lelaki dan perempuan serta wali.
Menurutnya, pemohon lelaki dan perempuan telah mendapat kebenaran berkahwin di bawah Seksyen 17 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2003 daripada PAID.
“Malah, hanya lima upacara akad nikah dibenarkan dalam satu hari bermula Isnin hingga Jumaat serta bermula pukul 9 pagi hingga 4 petang.
“Selain itu, kebenaran akad nikah ini diberikan kepada pasangan dalam Selangor atau pihak lelaki atau perempuan dari luar Selangor dengan tanggungjawab mereka mendapatkan kebenaran pergerakan rentas daerah atau negeri jika diperlukan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohd. Shahzihan, cadangan upacara akad nikah yang mendapatkan kebenaran Ketua Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor sahaja akan diterima untuk dilaksanakan di PAID.
“Oleh demikian, mereka yang ingin membuat temu janji bagi akad nikah boleh menghubungi PAID berkaitan untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya,” ujarnya.
Terdahulu, PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang sepatutnya tamat pada Selasa lalu dilanjutkan sehingga 9 November depan. -UTUSAN