KUANTAN: Semua pihak khususnya ahli politik diingatkan supaya berhenti sementara berpolitik dan menjadikan Nabi Muhammad SAW contoh ikutan terbaik bagi seluruh umat manusia.
Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Indera Mustaffar Kamal Ab. Hamid berkata, perbalahan berterusan tidak akan menguntungkan rakyat sewaktu negara sedang berdepan ancaman kesihatan global, pandemik Covid-19.
“Dalam kita menghadapi cabaran semasa, sudah pasti kefahaman umat Islam terhadap ajaran Rasulullah SAW perlu dikukuhkan.
“Rasulullah SAW telah pun menampilkan transformasi yang besar kepada aspek sosial masyarakat, aspek pemerintahan dan aspek keteladanan yang boleh dicontohi oleh umatnya.
“Teladani Baginda dan semoga negara tercinta ini sentiasa dilindungi oleh Allah SWT dan segera bebas dari penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE