SEREMBAN: Prosiding inkues mencari punca kematian gadis Ireland, Nora Anne Quoirin di Mahkamah Koroner dekat sini ditangguhkan selepas seorang saksi didapati merupakan kontak rapat pesakit Covid-19.
Menurut peguam keluarga Nora Anne, S. Sakthyvell, prosiding itu akan diteruskan esok dan saksi akan memberi keterangan menggunakan aplikasi Zoom.
Jelasnya, saksi berkenaan telah menjalani ujian calitan dan masih menunggu keputusan.
“Saksi itu juga telah mengadakan mesyuarat bersama Timbalan Pendakwa Raya (DPP) minggu lepas. Kalau keputusan ujian (saksi) positif dan mungkin DPP juga perlu buat ujian swab (calitan),” katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah hari ini.
Tambahnya, DPP yang merupakan pegawai pengendali inkues memohon untuk menangguhkan prosiding setelah mendapat tahu saksi tersebut merupakan kontak rapat pesakit Covid-19 semalam.
“Saya dimaklumkan perkara itu pukul 5.30 pagi tadi oleh Penolong Pendaftar Mahkamah,” tambahnya.
Nora Anne, 15, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, dekat sini pada 3 Ogos 2019.
Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.
Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan. -UTUSAN