BALING: Seorang ibu maut dan anak perempuannya cedera selepas motosikal yang mereka naiki terlibat dalam satu kemalangan di Kampung Charuk Bakong, Dalam Wang, Jalan Batu 42-Tanjung Pari di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Baling, Superitenden Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian berlaku pada pukul 3.15 petang ketika mangsa, Nor Hidayah Muhamad Khamari, 39, dalam perjalanan pulang mengambil anaknya, Nur Farahiedah Ahmad Fakir, 18, dari Sekolah Menengah Agama An-Najjah di sini.
Menurutnya, Nor Hidayah dan Nur Faraiedah yang menaiki motosikal jenis Yamaha Ego melanggar kereta Proton Saga BLM yang dipandu seorang wanita, Nor Azizah Tugiman, 21, di tempat kejadian.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan tersebut berlaku apabila motosikal yang dinaiki dua beranak itu dari arah Batu 42, Baling menghala ke arah Weng di sini.
“Bagaimanapun apabila sampai di tempat kejadian, kereta yang dipandu wanita terbabit telah keluar dari simpang di sebelah kiri jalan secara mengejut sehingga menyebabkan motosikal mangsa terlanggar di bahagian hadapan sebelah kanan kereta tersebut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Syed Basri, akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah terjatuh di atas jalan bersama anaknya.
Mangsa yang berasal dari Kampung Telok Temelah, meninggal dunia di tempat kejadian manakala anaknya mengalami cedera ringan dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.
“Mayat Nor Hidayah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat,” katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -UTUSAN