Ibu bapa kecewa UiTM lambat maklum sesi penangguhan pendaftaran pelajar - Utusan Malaysia

Ibu bapa kecewa UiTM lambat maklum sesi penangguhan pendaftaran pelajar

NOR Arizan Abd. Rahman,48, dari Kota Bharu, Kelantan (kanan) membantu anaknya memasukkan semula barangan ke dalam kenderaan selepas dimaklumkan mengenai sesi penangguhan sesi pendaftaran di UiTM kampus Arau, Perlis hari ini.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Rata-rata ibu bapa khususnya yang datang dari jauh untuk menghantar anak mereka pada sesi pendaftaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Arau di sini kecewa apabila dimaklumkan lambat mengenai penangguhan sesi pendaftaran tersebut.

Malah, ada dalam kalangan ibu bapa yang membantu menyimpan barangan anak-anak mereka di bilik kediaman pelajar terpaksa mengemas kembali dan memasukkan semula barangan ke dalam kenderaan masing-masing.

Che Rosmi Che Musa,61, dari Tanah Merah, Kelantan memberitahu, dia bertolak dari Kelantan sejak semalam dan tiba di Perlis bagi menghantar anaknya di UiTM Arau hari ini.

Katanya, selepas sesi pendaftaran yang berjalan seperti biasa, dia membantu anaknya yang juga merupakan pelajar semester akhir menyimpan barang di bilik kediaman pelajar.

“Sesi pendaftaran pada mulanya berjalan seperti biasa sebelum pengumuman bahawa sesi pendaftaran terpaksa dibatalkan dan pelajar diminta pulang ke rumah. Kami terpaksa mengemas semula barangan masuk ke dalam kereta.

“Sepatutnya perkara seperti ini dimaklumkan awal berikutan situasi semasa Covid-19 ini. Kami datang dari jauh, dengan perbelanjaan lagi,  akhirnya sesi pendaftaran ditangguhkan.

“Saya mengambil keputusan untuk terus pulang ke Kelantan. Saya lihat ramai lagi ahli keluarga yang datang dari jauh, mengeluh apabila secara tiba-tiba dimaklumkan bahawa sesi pendaftaran ini batal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Nor Arizan Abd. Rahman,48, dari Kota Bharu, Kelantan pula berkata, para pelajar dimaklumkan mengenai sesi penangguhan pendaftaran itu kira-kira pukul 11.30 pagi.

Malah katanya, dia bersama empat ahli keluarga lain juga sudah menyewa hotel untuk bermalam di sini selepas selesai proses pendaftaran anak kesayangannya itu.

“Rasa penatlah sikit bila dimaklumkan sesi pendaftaran pelajar itu terpaksa ditangguhkan. Sepatutnya beritahu sehari atau dua hari lebih awal. Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkah pihak universiti kerana mereka ada sebab bertindak demikian.

“Malam ini, kami sekeluarga akan bermalam di Perlis sebelum bertolak ke Kelantan. Sesi pendaftaran semula pelajar ini tidak tahu lagi bila,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya