Hospital Medan Tawau terima 163 pesakit - Utusan Malaysia

Hospital Medan Tawau terima 163 pesakit

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau, Sabah yang diwujudkan bagi memberi bantuan sokongan kepada Kementerian Kesihatan dalam merawat pesakit bukan Covid-19, menerima seramai 163 pesakit sejak beroperasi pada 20 Oktober lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 143 adalah pesakit wanita manakala 20 lagi adalah lelaki.

“Antara rawatan yang diberikan adalah berkaitan dengan Obstetrik dan Ginekologi, Onkologi dan Pediatrik,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) di sini hari ini.

Ismail Sabri turut memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di  Kampung Padang Che Mas, Baling, Kedah yang akan berakhir esok akan ditamatkan selepas tiada kes positif Covid-19 baharu yang direkodkan di kampung tersebut.

“Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 553 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dan daripada jumlah itu seramai 532 individu telah dikompaun manakala seramai 21 individu pula direman.

“Antara kesalahan itu ialah gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (165), tidak memakai pelitup muka (153), penjarakan fizikal (87), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (37), aktiviti pusat hiburan (18) dan lain-lain kesalahan (93),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Operasi Benteng telah berjaya menahan 46 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta berjaya merampas lima kenderaan darat melalui 293 sekatan jalan raya.

Mengenai kuarantin wajib pula, beliau menjelaskan, sehingga semalam, seramai 57,396 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,221 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 63 hotel dan 17 premis lain. Seramai 381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 47,794 individu dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, jumlah anggota keselamatan di negara ini masih mencukupi walaupun ada dalam kalangan pasukan itu mendapat jangkitan Covid-19.

“Kalau sekiranya ada kes kekurangan anggota di sesuatu tempat, kita akan menggerakkan anggota daripada cawangan lain untuk membantu tugasan di kawasan itu. Jadi rakyat tidak perlu bimbang kerana anggota keselamatan masih mencukupi,” katanya. 

Berhubung dakwaan kekurangan bantuan makanan di Pulau Omadal, Sabah, Ismail Sabri berkata, kawasan itu tidak terletak dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco)  yang memerlukan agihan makanan dihantar ke rumah.

Bagaimanapun, beliau meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri itu untuk melihat faktor lain seperti kawasan daif atau berdasarkan kes-kes tertentu bagi membolehkan bantuan disalurkan di kawasan tersebut. -UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN