HONG KONG: Hong Kong diramal sedang menghadapi gelombang keempat Covid-19 dengan 11 kes baharu dilaporkan semalam.
South China Morning Post melaporkan, pakar penularan penyakit University of Hong Kong, Ho Pak-leung berkata, kes jangkitan yang disahkan menunjukkan pandemik di Hong Kong belum dapat dikendalikan.
Malah beliau memberi amaran situasi bakal berdepan lebih buruk dengan pantas.
“Kes di Hong Kong terus meningkat dan pada bulan ini kita sudah memasuki gelombang keempat.
”Ada 49 kes dicatatkan bulan ini, kebanyakannya dalam kluster dan dengan sumber yang tidak diketahui.
”Sebelum keadaan bertambah buruk, kerajaan perlu mengadakan pemeriksaan di kawasan berisiko khususnya di restoran,” katanya.
Bagaimanapun, Dr. Chuang Shuk-kwan dari Pusat Perlindungan Kesihatan ketika memberi maklum balas terhadap kenyataan Pak-leung memberitahu, gelombang ketiga Covid-19 di Hong Kong ‘masih belum berakhir’.
Hong Kong dilanda tiga gelombang Covid-19 sejak awal tahun ini dengan lebih 120 orang dijangkiti pada gelombang pertama, Januari lalu.
Lebih 640 orang pula dijangkiti Covid-19 pada gelombang kedua, Mac lalu dan tujuh kematian dicatatkan.
Gelombang ketiga berlaku awal Julai dan sehingga semalam, jumlah kes yang disahkan mencapai 5,175 dengan 105 kematian.