KUALA LUMPUR – Penyanyi Siti Sarah Raissuddin menafikan dirinya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.
Melalui kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi, Siti Sarah menjelaskan dia hanya menemani suaminya, Shuib Sepahtu yang diambil keterangan.
Bagaimanapun Siti Sarah dan Shuib buat masa ini enggan mendedahkan butiran pertemuan dengan pihak berkuasa itu.
“Buat masa ini pihak kami tidak dapat mengeluarkan apa-apa kenyataan rasmi berkenaan perkara tersebut untuk tidak mengganggu siasatan pihak SPRM bagi menghormati sistem perundangan negara kita.
“Untuk makluman hanya keterangan Shuib sahaja yang diambil oleh pihak SPRM manakala Sarah hanya menemani suaminya sahaja,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Melalui laporan Utusan Online, pasangan ini dipercayai dipanggil SPRM hari ini setelah disyaki terlibat dalam kes pengubahan wang haram membabitkan perniagaan air yang dijalankan mereka.