Hanya satu persatuan sukan Terengganu daftar Perkeso - Utusan Malaysia

Hanya satu persatuan sukan Terengganu daftar Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hanya satu daripada keseluruhan 44 persatuan sukan di negeri ini dikenal pasti berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). 

Pengarah Perkeso negeri, Farihah Che Husin berkata, keadaan itu menimbulkan kebimbangan besar terutama dalam soal kebajikan atlet dan waris sekiranya ditimpa musibah. 

Katanya, setakat ini hanya Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) telah merintis usaha itu dengan mencarum atlet-atlet di bawah naungannya. 

“Kita memandang serius kebajikan pekerja termasuk atlet jadi semua persatuan sukan tidak mengira hoki, sepak takraw dan lain-lain perlu segera mencarumkan pekerja masing-masing. 

“Tahun lalu, lebih 45 majikan di negeri ini didakwa atas pelbagai kesalahan termasuk tidak mendaftar di samping kegagalan mencarum,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan faedah pengurusan jenazah sebanyak RM2,000 kepada waris bekas pemain pasukan Terengganu City FC (TCFC), Muhammad Solihin Mahamad, 24, di kediaman keluarganya di Kampung Bukit Depu di sini hari ini. 

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. 

Muhammad Solihin meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini akibat serangan jantung, pada 24 September lalu.

Terdahulu Wan Sukairi berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan dengan kesemua persatuan sukan bagi menggalakkan mereka segera berdaftar dengan Perkeso. 

“Musibah boleh berlaku tanpa dijangka, jadi dengan adanya caruman Perkeso sekurang-kurangnya ada jaminan yang ditinggalkan buat waris di samping meringankan beban yang terpaksa ditanggung keluarga,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya