Hanya 30% penjawat awam perlu berada di pejabat - Utusan Malaysia

Hanya 30% penjawat awam perlu berada di pejabat

MOHD. KHARUL ADIB ABD. RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kumpulan kakitangan sektor awam dibenarkan berada di pejabat  hanya pada jumlah maksimum 30 peratus dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lima negeri berikutan arahan bekerja dari rumah.  

Dalam satu surat edaran yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman, keberadaan pegawai perkhidmatan awam ke pejabat itu termasuk perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa kerkanun dan pihak berkuasa tempatan (PBT) demi memastikan perkhidmatan asas tidak terjejas berdasarkan piagam pelanggan kementerian, jabatan atau agensi masing-masing. 

Walau bagaimanapun, beliau berkata, arahan kehadiran bertugas itu adalah terkecuali kepada penyampaian perkhidmatan-perkhidmatan penting yang ditentukan oleh ketua jabatan selaras dengan surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 17 Mac lalu.

“Bagi maksud ini ketua jabatan adalah diarah supaya memastikan semua pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran kementerian, jabatan atau agensi yang tidak diperlukan berada di pejabat sepenuh masa, dijadualkan bekerja dari rumah.

“Ini tertakluk secara penggiliran atau sepenuh masa agar kehadiran mereka di pejabat dioptimumkan pada kadar minimum semasa tempoh PKPB dikuat kuasakan,” katanya seperti dipetik dalam surat edaran itu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Khairul berkata, semua aktiviti secara bersemuka seperti mesyuarat, perbincangan atau latihan tidak dibenarkan dan hendaklah dilaksanakan secara atas talian sepenuhnya. 

Kata beliau, dokumen rahsia rasmi sama ada salinan hardcopy atau soft copy adalah tidak dibenarkan untuk dibawa keluar sepanjang tempoh tersebut, namun ketua jabatan boleh mempertimbangkan atas kepentingan tugasan dan prinsip bekerja dari rumah.

Walau bagaimanapun, katanya, ia perlu berpandukan kepada Garis Panduan Membawa Rahsia Rasmi Keluar dari Pejabat Semasa Tempoh PKP oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

“Sebagai langkah berterusan bagi pencegahan Covid-19, ketua jabatan hendaklah sentiasa memastikan pematuhan sepenuhnya kepada semua peraturan, garis panduan dan surat edaran yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan JPA,” katanya.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN