PUTRAJAYA: Sejumlah 776,135 daripada 3.1 juta pekerja dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pembinaan diwajibkan bekerja dari rumah bermula esok sehingga tamat tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di lima negeri terlibat.
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah itu merangkumi 25 peratus yang terlibat dalam bidang pengurusan dan penyeliaan untuk mengikuti dasar itu sebagaimana yang diarahkan Majlis Keselamatan Negra (MKN) sebagai langkah untuk mengurangkan risiko penularan jangkitan pandemik Covid-19 terutamanya di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Labuan.
Walau bagaimanapun, menurut beliau, hanya maksimum 10 peratus sahaja dibenarkan hadir ke pejabat mengambil kira keperluan pihak industri merangkumi tugasan antaranya melibatkan perakaunan, kewangan, pentadbiran, perundangan, perancangan dan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Namun, katanya, tempoh masa berada di pejabat dihadkan selama empat jam sahaja bermula jam 10 pagi sehingga 2 petang untuk tiga hari seminggu.
“Syarikat-syarikat tidak perlu mengemukakan permohonan bagi tujuan ini. Majikan hanya perlu mengeluarkan surat pelepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB.
“Majikan perlu menetapkan garis panduan Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bersesuaian mengikut keperluan syarikat masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, kerajaan akan terus bekerjasama dengan pihak swasta dan industri dalam usaha mempertingkatkan pelaksanaan BDR sebagai norma baharu selari dengan kecanggihan teknologi terkini dan aplikasi atas talian.
Katanya, kementerian akan meneruskan pemantauan dan penguatkuasaan yang tegas bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kalangan pihak industri.
Semalam, kerajaan mengarahkan kira-kira sejuta pekerja sektor awam dan swasta di peringkat pengurusan dan pengawasan bekerja dari rumah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Sabah dan Labuan sepanjang tempoh PKPB.
Arahan itu berikutan trend peningkatan kes positif Covid-19 di lima negeri itu yang memerlukan kawalan aktiviti pergerakan keluar masuk diperketatkan melibatkan kawasan-kawasan ini selain mengambil kira terdapatnya sembilan kluster melibatkan tempat kerja di negeri Selangor sehingga hari ini. -UTUSAN