KANGAR: Gua Kelam masih ditutup untuk pengunjung dan sebarang aktiviti riadah berikutan arus sungai di kawasan tersebut masih deras berikutan hujan lebat sejak semalam.
Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Fadhilah Mohamad berkata, pihaknya akan melihat perkembangan daripada segi paras air dan taburan hujan sebelum kembali membuka pusat rekreasi tersebut.
Katanya, orang ramai bagaimanapun masih boleh melawat Galeri Gua Kelam di sini yang beroperasi seperti biasa.
“Kami hanya tutup untuk aktiviti masuk gua, mandi-manda dan riadah sahaja. Pihak kami sentiasa dalam keadaan siap- siaga apabila hujan lebat kerana air terkepung di dalam Gua Kelam 1.
“Sebab itulah dapat dilihat air keluar begitu deras dari mulut gua. Sebenarnya perkara itu memang biasa berlaku apabila hujan lebat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Fadhilah memberitahu, Gua Kelam pernah ditutup khususnya pada bulan Oktober dan November berikutan arus air deras akibat hujan lebat.
“Kami tidak mahu mengambil risiko dan biasanya pada musim hujan, pengunjung memang tidak pergi ke Gua Kelam kerana air laju,” ujarnya. -UTUSAN