Gencatan politik redakan suhu politik negara - Utusan Malaysia

Gencatan politik redakan suhu politik negara

AHMAD MASLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pengumuman gencatan politik oleh UMNO diharapkan dapat meredakan suhu panas politik negara dan demi menjaga kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO membuat keputusan itu dengan mengambil kepentingan umum negara yang kini berhadapan situasi getir pandemik Covid-19.

“Tentu ini dibuat kerana ada sebabnya iaitu untuk menumpukan soal rakyat dan kepentingan umum dalam menangani Covid-19 yang diketahui umum menjadi keutamaan. 

“Justeru itu kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tentang gencatan politik ini akan meredakan suhu politik negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Hospital Pontian di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Zahid dalam kenyataan mengumumkan gencatan politik dan terus mendukung PN untuk memberi fokus kepada agenda membantu rakyat mendepani Covid-19 serta kegawatan ekonomi.

Mengulas lanjut senarai nama barisan kabinet tular, Ahmad merangkap Ahli Parlimen Pontian menyifatkan ia sebagai satu spekulasi yang tidak mempunyai kebenaran.

Malah katanya, nama beliau juga dikaitkan apabila kononnya akan menjawat Menteri Kewangan Kedua dan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

“Itu hanya spekulasi yang dilihat tiada kebenarannya walaupun dalam spekulasi itu ada nama saya, dua kali saya disebut sebagai Menteri Kewangan Kedua dan terbaharu pula sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Ketika ditanya soalan mengenai Mesyuarat Majlis Tertinggi ( MT) UMNO, Ahmad menjelaskan ia bakal berlangsung selepas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tamat pada 27 Oktober ini.

“Mesyuarat ini patut di Janda Baik, Pahang pada Selasa lalu dan ditangguhkan kerana tidak mahu langgar PKPB. Ramai anggota MT tinggal di Selangor dan Kuala Lumpur, mereka perlu rentas negeri.

“Akhirnya nanti akan jadi isu kepada rakyat, rakyat perlu bersusah payah untuk rentas negeri dengan kebenaran polis. Jadi kita ambil keputusan untuk tangguhkan mesyuarat,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN