Empat lelaki ditahan miliki pistol tiruan - Utusan Malaysia

Empat lelaki ditahan miliki pistol tiruan

BAHARUDIN Abdullah (dua, kiri) menunjukkan pistol tiruan yang dirampas daripada empat lelaki di hadapan sebuah resort di Pantai Teluk Lipat, Dungun, Terengganu Jumaat lalu.-UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Polis menahan empat lelaki tempatan kerana memiliki sepucuk pistol tiruan di hadapan sebuah resort di Pantai Teluk Lipat, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kesemua suspek berusia 18 hingga 29 tahun itu ditahan dalam kereta Perodua Kancil kira-kira pukul 9 pagi selepas menerima maklumat daripada orang awam yang curiga dengan kehadiran kenderaan tersebut.

“Hasil pemeriksaan menjumpai sepucuk pistol tiruan yang boleh digunakan untuk kegiatan jenayah.

“Kita percaya pistol ini dibawa masuk dari negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun di sini hari ini.

Menurut Baharudin, pemeriksaan lanjut ke atas suspek berusia 25 tahun turut menemui 128 biji pil kuda di samping 12 biji dadah jenis erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM1,500. 

Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap kesemua suspek mendapati tiga daripadanya positif dadah. 

“Kesemua suspek yang merupakan penduduk tempatan direman selama empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata Api 1960,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN