Emel penuntut wang tebusan telah dipadamkan - Utusan Malaysia

Emel penuntut wang tebusan telah dipadamkan

HAZIZI Abd. Samad hadir di Kompleks Mahkamah Seremban, dekat sini bagi memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian gadis Ireland, Nora Anne Quoirin.-UTUSAN/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: E-mel yang menghantar pesanan yang menuntut wang tebusan daripada keluarga Nora Anne Quoirin dengan membayar menggunakan matawang kripto telah dipadamkan.

Perkara tersebut diberitahu, Deputi Superintenden Hazizi Abd. Samad dari Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman.

Beliau yang merupakan saksi ke-32 dalam prosiding inkues kematian Nora Anne memaklumkan bahawa telah ditugaskan untuk menganalisa satu e-mel yang diterima keluarga mangsa pada 7 Ogos 2019.

Menurutnya, pada 14 September 2020, beliau telah membuat semakan terhadap alamat emel tersebut melalui dua laman web ‘email checker’ dan hasilnya e-mel tersebut sudah dipadamkan.

“Saya mengandaikan bahawa sekiranya e-mel itu tidak wujud lagi berkemungkinan emel itu telah dipadam oleh orang yang membuat e-mel tersebut.

“Sifat-sifat penghantar e-mel ini kalau dalam kes-kes melibatkan siber merupakan salah satu sifat scammer,” katanya ketika memberi keterangan di hadapan Koroner, Maimoonah Aid.

Tambahnya, sebelum itu beliau telah menerima tugasan untuk membuat analisa alamat e-mel ‘[email protected]’.

“Saya telah terima permohonan e-mel pada 11 September 2020 dan seterusnya telah mendapatkan e-mel ‘header’ tersebut daripada pegawai penyiasat.

“Hasil terhadap analisa e-mel ‘header’ tersebut menunjukkan terdapat empat pelayan berbeza sebelum dihantar kepada keluarga mangsa,” tambahnya.

Jelasnya Hazizi lagi, berdasarkan alamat emel tersebut, dia tidak menjumpai sebarang alamat IP bagi pengirim.

“Kesemua pelayan-pelayan mempunyai alamat IP yang dijumpai ini adalah kepunyaan Microsoft,” jelasnya.

Nora Anne, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Dia kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN