Elaun guru takmir Kelantan mencukupi - Utusan Malaysia

Elaun guru takmir Kelantan mencukupi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Peruntukan elaun guru takmir bagi negeri Kelantan pada tahun ini adalah mencukupi sehingga Disember ini.

Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Abdul Aziz Jusoh berkata, pihaknya tiada halangan kepada pihak negeri untuk menguruskan pembayaran elaun tersebut tertakluk kepada prosedur kewangan semasa.

Menurut beliau, berhubung surat dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) pada 8 Oktober lalu, pihaknya berpandangan bahawa arahan tersebut adalah berdasarkan prosedur kewangan negeri berkenaan.

Katanya, dalam hal itu, Jakim telah mengeluarkan surat pekeliling kepada negeri-negeri mengenai pemakluman pembayaran elaun guru takmir, kelmarin.

“Kami ingin menegaskan bahawa pihak kerajaan sentiasa menjaga kebajikan murabbi ummah yang banyak membantu pembangunan insan di negara ini seperti guru takmir dan guru KAFA.

“Ini terbukti melalui arahan yang dikeluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Mac lalu supaya elaun guru takmir dan guru KAFA dibayar penuh sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, bayaran penuh kepada guru takmir dan guru KAFA itu dibuat sama ada kelas pengajian takmir atau KAFA dapat dilaksanakan atau sebaliknya.

Justeru, Abdul Aziz berkata, beliau berharap penjelasan itu dapat menutup ruang-ruang fitnah yang sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Baru-baru ini, tular di media sosial berhubung surat dikeluarkan MAIK mengenai elaun guru takmir di Kelantan kononnya bayaran elaun itu hanya dibuat setakat November sahaja.

Menurut surat tersebut, guru-guru takmir yang ingin meneruskan kelas pengajian takmir bagi bulan Disember boleh terus berbuat demikian, namun elaun mengajar tidak boleh dituntut dengan MAIK. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya