KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) secara bersasar di beberapa kawasan yang mempunyai kes Covid-19 tinggi bagi mengekang penularan wabak tersebut.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin mengumumkan perkara itu dengan menjelaskan pihaknya tidak bercadang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara keseluruhan kerana akan memberi kesan besar kepada ekonomi dan sosial negara.
“Setakat hari ini kita tidak memikirkan soal melaksanakan PKP di seluruh negara atau total lockdown. Langkah ini jika dilaksanakan sekali lagi boleh membawa kesan besar yang dikhuatiri akan meruntuhkan sistem sosial dan ekonomi negara, na’uzubillah.
“Apa yang akan dilakukan kerajaan ialah melaksanakan PKPD secara bersasar di kawasan-kawasan yang dikenal pasti mempunyai kes-kes Covid-19 yang tinggi.
“Dengan ini, aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan-kawasan lain yang tidak terjejas boleh diteruskan dengan amalan SOP (prosedur operasi standard) yang ketat dan penguatkuasaan undang-undang yang tegas,” katanya.
Muhyiddin berkata, keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira 15 juta rakyat Malaysia yang keluar bekerja demi meneruskan kelangsungan hidup untuk menyara keluarga.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan penutupan sekolah juga akan dilaksanakan di kawasan zon merah melibatkan kawasan di Sabah.
Antara kawasan zon merah tersebut ialah Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Tawau, Semporna dan Kunak dan Lahad Datu.
Dalam masa yang sama, keperluan untuk menyekat pergerakan rentas negeri juga akan dibincang dalam sidang khas MKN akan datang jika terdapat keperluan untuk melaksanannya.
“Saya memberi jaminan notis mencukupi akan diberikan sebelum melaksakanan sesuaut perintah supaya tidak ada yang terkandas,” katanya.