KULIM: Dua lelaki yang asyik memilih barangan yang hendak dicuri tidak menyedari kehadiran polis dalam kejadian di pasar raya di Sungai Limau, Lunas di sini.
Dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, dua suspek berusia 23 dan 25 tahun ditahan polis selepas didapati mencuri coklat bar, pewangi badan dan pelbagai jenis rokok bernilai kira-kira RM1,200 di pasar raya tersebut.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Azhar Hashim berkata, sebelum diberkas, berlaku pergelutan antara polis dan penjenayah terbabit.
“Ketika menjalankan rondaan pencegahan jenayah di sekitar Taman Makmur di sini, dua anggota polis menerima maklumat berkaitan sebuah pasar raya di pecah masuk individu tidak dikenali.
“Berdasarkan maklumat itu, anggota polis itu kemudian membuat pemeriksaan di tempat kejadian dan ternampak pintu bahagian belakang pasar raya berkenaan dalam keadaan terbuka,” katanya di sini.
Beliau berkata, anggota terbabit membuat pemeriksaan lanjut ke dalam pasar raya itu sebelum terserempak dengan dua suspek sedang mencuri barang.
Katanya, suspek yang terkejut dengan kehadiran polis bertindak cuba melarikan diri namun tindakan pantas anggota polis berjaya menahan dua penjenayah terbabit.
Tambahnya, dua penjenayah itu bersama barangan rampasan kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah Kulim untuk soal siasat dan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua suspek terbabit mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes curi dan dadah,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE