GERIK: Cubaan dua sekawan dari Naka, Kedah membawa daun ketum lebih satu tan dengan menempuh perjalanan sejauh 300 kilometer ke Tanah Merah, Kelantan gagal apabila ditangkap di Bandariang di sini semalam.
Lelaki dan wanita berusia 31 dan 32 tahun itu ditahan Unit Kereta Peronda Polis (MPV) Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Gerik pada pukul 4.10 pagi.
Kedua-dua suspek yang menaiki kenderaan jenis Nissan Urvan itu ditahan ketika cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya yang diadakan di Kilometer 9, Jalan Gerik-Jeli berhampiran Sungai Lebey di sini.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, polis menemukan 106 bungkus plastik hitam berisi daun ketum seberat 1,060 kilogram di bahagian tempat duduk belakang.
Katanya, siasatan mendapati bekalan daun ketum itu diperoleh dari warga tempatan di Pendang, Kedah untuk dijual di Tanah Merah, Kelantan. – UTUSAN ONLINE