Dua didakwa bantu syarikat tutup kes curi elektrik - Utusan Malaysia

Dua didakwa bantu syarikat tutup kes curi elektrik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Dua penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dakwaan menerima suapan RM37,000 bagi membantu menutup kes syarikat yang didakwa mencuri bekalan elektrik pada 2015.

Salah seorang daripada tertuduh mengaku sebagai kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Kedua-dua tertuduh, Amir Nurashid Ahmad Nasaruddin, 42, dan rakannya, Mohd. Zailani Mat Zin, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Amir Nurashid didakwa atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan wang tunai sebagai dorongan menutup kes syarikat Riverbank Fruit Paradise Sdn. Bhd. yang kononnya mencuri bekalan elektrik TNB.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Amir Nurashid didakwa meminta suapan berjumlah RM20,000 dan RM17,000, masing-masing pada pukul 12 tengah hari dan 4 petang, 19 Oktober 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, dia bersama Mohd. Zailani didakwa menerima wang tunai berjumlah RM17,000 daripada syarikat berkenaan pada pukul 4 petang, 26 Oktober 2015.

Kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan perbuatan berkenaan di beberapa lokasi berasingan sekitar bandar raya ini.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dibaca bersama Seksyen 28 (1)(C) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan berjumlah RM15,000 terhadap kedua-dua tertuduh manakala tarikh sebutan semula kes 17 November ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Yunus Mohamed manakala kedua-duanya tidak diwakili peguam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN