Dua buah kapal ditahan pindah minyak tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

Dua buah kapal ditahan pindah minyak tanpa kebenaran

DUA kapal selepas disyaki melakukan aktiviti memindahkan minyak tanpa kebenaran di Perairan Johor Timur, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan dua kapal selepas disyaki melakukan aktiviti memindahkan minyak tanpa kebenaran di Perairan Johor Timur, petang semalam. 

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohd. Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki serta kapal pengangkut itu didapati merapat antara satu sama lain ketika ditahan kapal ronda Maritim Malaysia pada pukul 1.55 petang.

“Kedua-dua kapal ini ditahan atas kesalahan berlabuh tunggu tanpa pemakluman kelulusan Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia di bawah Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 dan Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952 kerana menjalankan aktiviti ship to ship (STS) tanpa kebenaran. 

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati kapal-kapal ini telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 361(6) OPS 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen kontrak atau polisi insurans,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, kapal pengangkut jenis Bulk Carrier berdaftar di Indonesia itu dikendalikan oleh 23 kru termasuk nakhoda yang kesemuanya warga Indonesia berumur lingkungan 21 hingga 53 tahun. 

“Manakala kapal tangki yang berdaftar di Malaysia dikendalikan oleh lapan kru termasuk nakhoda, dua daripadanya warga Singapura dan selebihnya warga Indonesia berumur lingkungan 22 hingga 44 tahun,” katanya.

Dalam pada itu, perbuatan itu disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar (OPS) 1952 dan Seksyen 491B(1)(K) OPS 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau keduanya jika sabit kesalahan.

“Manakala bagi Seksyen 361(6) OPS 1952 boleh didenda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000,” katanya lagi.

Beliau juga memaklumkan kes itu juga disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana tiada apa-apa isytihar Kastam atas minyak yang dipindahkan dan Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Akta Petroleum (Langkah -langkah Keselamatan) 1984 kerana menjalankan aktiviti di luar had pelabuhan urusniaga tanpa lesen. 

“Maritim Malaysia akan terus meningkatkan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan kapal-kapal dalam perairan negara sentiasa terjamin. 

“Para pengusaha dan ejen perkapalan khususnya di perairan Johor Timur, dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang untuk memastikan perairan ini sentiasa produktif dalam industri perkapalan serantau,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya