KLUANG : Dua beranak terbunuh selepas kenderaan dinaiki terbabas lalu merempuh papan tanda jalan dalam satu kemalangan di Kilometer 78 Lebuh raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini hari ini.
Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, mereka yang maut adalah Mohd. Amirudin Abd. Razak, 19, dan Abd. Razak Mohd. Mahudin, 50 manakala tiga lagi penumpang termasuk pemandu hanya cedera.
“Satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Hitam dengan kekuatan keseluruhan seramai tujuh anggota telah dihantar ke tempat kejadian telah dikejarkan ke lokasi setelah menerima panggilan pada pukul 12.08 tengah hari.
“Terdapat lima mangsa iaitu tiga lelaki dewasa dan dua perempuan dewasa. Bomba bertindak mengeluar mengeluarkan mangsa cedera iaitu dua perempuan dewasa dengan menggunakan peralatan khas dan seorang mangsa iaitu lelaki dewasa telah keluar dengan sendiri manakala, terdapat dua mangsa yang telah disahkan meninggal dunia oleh Pembantu Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Simpang Renggam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, semua mangsa cedera dihantar ke Hospital Batu Pahat dan angsa meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. -UTUSAN