DUNGUN: Gara-gara cuba mengelak seekor ular yang melintas jalan, dua beranak maut selepas kereta dinaiki mereka merempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 61, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Bukit Besi, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.05 pagi itu, mangsa Mohamed Jenal, 61, dan anaknya, Mardiah Mohamed, 26, dari Felda Jerangau Barat, Ajil di Hulu Terengganu meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kedua-kedua mangsa dikatakan dalam perjalanan dari rumah mereka menuju ke Dungun.
Difahamkan, kereta jenis Proton Gen 2 dipandu Mohamed memasuki laluan bertentang ketika cuba mengelak ular melintas lalu bertembung dengan Mitshubishi Triton yang dipandu lelaki berusia 50-an.
Sepasukan anggota bomba bersama kekuatan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Mukhtafi Bilah Shah yang tiba di lokasi kejadian berjaya mengeluarkan kedua-dua mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut.
Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat manakala pemandu Mitshubishi Triton yang cedera ringan menerima rawatan di klinik berhampiran. -UTUSAN