KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelakon filem Munafik, Syamsul Yusof membuat laporan polis selepas mendakwa menerima satu ugutan yang mengancam maruah dan keselamatan diri serta keluarga hari ini.
Syamsul berkata, dia menerima ugutan tersebut daripada seorang individu yang tidak dikenali menerusi akaun palsu di Instagram bernama Velvetblackkl.
Mesej-mesej ugutan tersebut cuma disedari oleh Syamsul pada pukul 10.30 malam semalam namun selepas diteliti ia kemungkinan sudah dihantar sejak seminggu lalu.
“Belum reda kes YouTube itu, timbul lagi kes seperti ini walaupun saya tahu sebagai selebriti biasalah kalau terima komen negatif atau kata-kata ugutan.
“Tetapi ini sudah melampau kerana melibatkan maruah, keselamatan anak dan isteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati, hari ini.
Selain itu, kata Syamsul lagi, dia tidak tahu apa agenda individu tersebut sehingga berani mengeluarkan ugutan seperti itu.
“Kalau dia ada masalah dengan saya bersemukalah dengan saya depan-depan. Jangan sentuh anak dan isteri saya!
“Ingat, negara kita ada undang-undang dan saya perlu pertahankan diri dan keluarga,” katanya.