Didenda RM8,000 sembur cat pada kera - Utusan Malaysia

Didenda RM8,000 sembur cat pada kera

KEADAAN kera yang terkurung di dalam sangkar besi dan disembur cat merah dan hijau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tindakan seorang warga emas yang menyembur cat pada seekor kera membawa padah apabila dia didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam. 

Jabatan Perhilitan dalam kenyataan memaklumkan, tertuduh Sanusi Bajuri, 67, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku bersalah di atas pertuduhan itu.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki dituduh dengan sengaja menyebabkan kesakitan terhadap seekor kera jenis macaca fascicularis iaitu hidupan liar dilindungi di bawah Jadual Pertama Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716].

Kesalahan tersebut dilakukan kira-kira pukul 4.40 petang di sebuah premis di alamat Kampung Sri Bunian, Batu 33, Jalan Johor, Pontian, 1 April lalu. 

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 86(1)(f) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang memperuntukkan hukuman tidak lebih daripada RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda. 

Kes itu pernah menjadi tular di Facebook apabila tersebarnya video seorang individu telah mengecat seekor kera di dalam sangkar.

Seorang pengguna Facebook telah memuat naik gambar seekor kera yang kepalanya disembur cat hijau manakala badannya disembur cat merah yang terkurung dalam sangkar besi. 

Setelah tindakan tersebut dikecam teruk oleh netizen, pemilik facebook itu mempertahankan dirinya dengan menjelaskan perbuatan adalah cara bagi menghalau kera di kampung. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN