Dadah disembunyi dalam lubang tanah bernilai RM240,000 dirampas - Utusan Malaysia

Dadah disembunyi dalam lubang tanah bernilai RM240,000 dirampas

SHEIK Azhar Sheik Omar menunjukkan dadah yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini. -UTUSAN/Zulhanifa Sidek
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU:  Tindakan lelaki yang dipercayai pengedar dadah menyembunyikan dadah jenis pil yaba,  syabu  dan heroin termasuk diisi dalam tin biskut dan lubang tanah tumpas  setelah ditahan polis negeri ini, malam tadi.

Kesemua dadah berkenaan bernilai RM240,000 ditemukan dalam empat lubang tanah dan satu reban ayam di belakang sebuah rumah di kawasan taman perumahan Ketereh, di sini.

Suspek berusia 52 tahun itu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan pukul 9.15 malam.

Ketua JSJN Kelantan Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, pemeriksaan awal dilakukan dalam rumah suspek dan tidak menjumpai barang yang menyalahi undang-undang serta suspek seolah-olah tidak mahu memberi kerjasama.

“Namun, pasukan kita yang curiga kemudian melakukan pemeriksaan teliti di luar kawasan rumah dan menemui empat lubang kesan digali antara dua hingga tiga hari sedalam kira-kira 0.2 meter.

“Hasil pemeriksaan, tiga lubang ditemukan dengan sebanyak 18,000 biji pil yaba manakala satu lubang lagi mengandungi syabu seberat 500 gram yang diisi dalam tin biskut dan lima botol disyaki heroin seberat 24 gram ditemui dalam reban ayam,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang tinggal bersendirian dan menyewa rumah tersebut  selama dua tahun mempunyai lapan kesalahan  rekod lampau dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya. 

Katanya, siasatan mendapati suspek kali terakhir dikenakan tindakan mengikut Akta Dadah Berbahaya ( Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 pada 2013.

“Suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952  bermula hari ini hingga 3 November depan.

“Bekalan dadah itu dipercayai diambil dari negara jiran untuk pasaran dalam dan luar Kelantan.

“Kita juga masih menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek sama ada mempunyai rangkaian atau sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, sebuah kereta jenia Proton Iriz bernilai RM36,000 dan wang tunai RM4,599 turut disita.

Sheik Azhar berkata, sebelum itu pasukannya telah menahan seorang pengedar lelaki berusia 27 tahun di sebuah rumah di Kubang Kerian, di sini pukul 5 petang hari yang sama.

Katanya,  suspek ketika itu sedang menggenggam dua bungkusan plastik mengandungi serbuk kristal disyaki syabu seberat 101.28 gram bernilai RM10,128.

“Siasatan mendapati suspek aktif selama enam bulan dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau serta ujian saringan air kencing adalah  negatif.

“Kita turut menyita motosikal Yamaha Y15ZR bernilai RM8,000 bersama wang tunai RM3,500.

“Suspek direman selama tujuh hari dibawah akta yang sama,” katanya. 

Tambahnya, jumlah keseluruhan dadah yang diranpas itu mampu dibekalkan kepada seramai 12,400 penagih. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya