IPOH: Polis menumpaskan kumpulan curi motosikal yang menjadikan seorang wanita sebagai peninjau untuk melihat kehadiran pemilik atau anggota polis sebelum melarikan motosikal yang disasarkan.
Kegiatan kumpulan yang dikenali Geng Farid Temara itu berjaya ditumpaskan selepas polis menahan kesemua lima ahlinya, termasuk seorang wanita berusia 20 tahun dalam tiga serbuan berasingan minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua suspek yang berusia 20-an hingga 30-an itu menjalankan kegiatan curi motosikal sejak enam bulan lalu dengan menyasarkan motosikal jenis Honda E-X5.
Menurutnya, kumpulan itu menjadikan seorang wanita, yang merupakan teman wanita kepada dalang utama kumpulan itu sebagai peninjau untuk melihat kehadiran pemilik motosikal atau pihak polis.
“Motosikal yang dicuri kemudiannya dileraikan dan komponennya dijual sebagai alat ganti manakala rangka motosikal dan komponen yang tidak diperlukan, dibuang dalam lombong di sekitar Ipoh,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis (IPD) Ipoh di sini hari ini.
Menurutnya, A. Asmadi, selain tangkapan ahli kumpulan itu, polis menemukan tiga rangka motosikal curi yang dibuang dalam sebuah lombong di kawasan Pasir Puteh di sini.
Beliau berkata, berikutan tangkapan itu, polis berjaya menyelesaikan 19 kes curi motosikal di daerah ini.
“Semua suspek direman selama 21 hari mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya.
Sementara itu, A. Asmadi berkata, polis menyelesaikan 25 kes pecah kereta berikutan penahanan seorang lelaki berusia 33 tahun di Pangsapuri Waller Court di sini kelmarin.
Menurutnya, penahanan dibuat berikutan aduan oleh seorang mangsa yang rugi lebih RM24,000 selepas kehilangan komputer riba dan dokumen peribadi lain dalam keretanya pada 30 September lalu.
“Suspek mengaku terlibat dalam kes pecah kereta di sekitar Pekan Baharu, Pekan Lama, Jalan Bendahara dan Pasir Puteh sejak Julai lalu,” katanya.
Katanya, polis turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang membeli barang curi dari kegiatan pecah kereta tersebut. -UTUSAN