Covid-19 : Unimap kendalikan pendaftaran, MSK pelajar baharu secara atas talian - Utusan Malaysia

Covid-19 : Unimap kendalikan pendaftaran, MSK pelajar baharu secara atas talian

R. BADLISHAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19, Universiti Malaysia Perlis (Unimap) mengambil pendekatan dengan mengendalikan proses pendaftaran dan Minggu Suai Kenal (MSK) membabitkan seramai 2,500 pelajar baharu secara atas talian bermula Sabtu ini.

MSK yang bakal berlangsung selama tiga hari itu juga menyediakan satu slot khusus membabitkan Naib Canselor Unimap, Prof. Ir. Dr. R. Badlishah Ahmad bersama waris pelajar bagi membolehkan pihak universiti memberikan penjelasan dan maklumat lebih tepat berhubung pengendalian sesi akademik pada semester ini.

Badlishah berkata, meskipun pemakluman telah dibuat melalui laman web dan media sosial universiti tersebut, namun, pihaknya merasakan perlu untuk menyediakan satu platform khusus agar ibu bapa serta waris lebih jelas mengenai situasi yang melanda sebahagian besar universiti awam ketika ini.

“Unimap menerima banyak pertanyaan dari pelajar dan waris mengenai sidang akademik pada kali ini, justeru saya merasakan adalah perlu untuk kita menyediakan satu platform khusus bagi membolehkan sesi soal jawab antara waris, pelajar dan pengurusan universiti terutama dalam situasi yang agak meruncing ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pada masa ini, Unimap memutuskan untuk menangguhkan seketika perjalanan kembali pelajar ke kampus terutama membabitkan mereka dari zon merah sekurang-kurangnya sehingga situasi pandemik kembali reda.

Dalam masa sama katanya, Unimap masih membuka peluang untuk pelajar dari zon hijau atau pelajar yang berdepan dengan masalah mengikuti pembelajaran secara atas talian untuk kembali ke kampus tetapi diwajibkan mengisi dan menghantar borang deklarasi kesihatan Covid-19 terlebih dahulu.

Dalam pada itu, R. Badlishah berkata, pihaknya sentiasa memastikan kebajikan para pelajar terpelihara khususnya membabitkan mereka dari golongan berpendapatan rendah (B40) melalui peruntukan Insentif Khas Kasih Unimap berjumlah RM1.18 juta.

“Bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan Unimap dalam membantu pelajar menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik seterusnya memberi suntikan motivasi kepada pelajar untuk menguruskan kewangan dan kemudahan pengajaran,” katanya.

Tambahnya, antara insentif yang ditawarkan itu ialah kemudahan penginapan percuma berjumlah RM250,000 menerusi sumbangan daripada dua organisasi iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM100,000 dan Bank Pembangunan Malaysia bernilai RM150,000.

“Unimap juga akan menyediakan peruntukan data internet berjumlah RM280,000 melalui pelaksanaan secara berfasa selain turut menyediakan bantuan komputer riba kepada penerima yang layak.

“Bagi memastikan pelajar lebih berdikari, Unimap turut menyediakan insentif keusahawanan serta insentif inovasi untuk projek tahun akhir dengan nilai peruntukan bagi kedua-dua insentif tersebut berjumlah RM25,000 setiap satu,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN