BAGAN SERAI: Sepasang pengantin baharu mengambil keputusan tidak membenarkan saudara mara mereka dari Kedah menghadiri resepsi perkahwinan mereka di sini hari ini ekoran wabak Covid-19 yang meningkat di negeri itu.
Safuan Ismail, 32, dan pasangannya Habshah Masri, 38, berkata, mereka bertindak demikian kerana tidak mahu wabak penyakit itu menular ke negeri ini.
Menurutnya, tindakan itu bukan berniat mahu membelakangkan saudara mara di Kedah tetapi demi memastikan keselamatan semua pihak.
“Pada awalnya kami memang mengundang semua saudara mara yang tinggal di Kedah namun apabila kes positif Covid-19 di negeri Kedah meningkat terutama dalam sehari dua ini, kami mengambil keputusan tidak mahu mereka datang datang ke sini.
“Malam tadi saya menghubungi mereka supaya jangan datang, mereka semua faham dan menerimanya disebabkan Covid-19 di negeri itu semakin meningkat.
“Saya tak mahu wujudnya kluster baru dari majlis resepsi perkahwinan saya ini sebab itu saya mengambil tindakan itu,” kata Safuan ketika ditemui di Taman Seri Serai sini hari ini.
Tindakan itu disokong oleh Habshah yang menegaskan tindakan mereka bertujuan memastikan keselamatan semua pihak.
“Tetamu jemputan kami hanya kepada saudara mara yang terdekat di sekitar Bagan Serai serta sahabat handai sahaja.
“Kami berharap agar rakan, kenalan yang lain tidak berkecil hati kerana tidak dijemput memandangkan keadaan kes Covid-19 yang sedang meningkat,” katanya.
Majlis resepsi perkahwinan pasangan pengantin itu dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti mencatat nama pada buku pendaftaran, pemeriksaan suhu, menjaga penjarakan fizikal dan berbaris semasa mengambil makanan.
Malah, tuan rumah turut mendapatkan khidmat juruhebah atau deejay yang bukan sahaja memutarkan lagu-lagu tetapi sentiasa membuat hebahan dan peringatan kepada tetamu supaya mematuhi SOP ditetapkan. -UTUSAN