KUALA TERENGGANU: Semua masjid dan surau di negeri ini diseru menunaikan solat hajat serentak malam ini bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT agar dijauhi musibah wabak Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd. Nor Hamzah berkata, ibadah yang dijadualkan selepas solat Isyak itu turut digalakkan dibuat di kediaman masing-masing bagi mereka yang tidak berpeluang ke masjid atau surau.
“Solat hajat ini merupakan antara usaha untuk memohon pertolongan Allah SWT agar wabak Covid-19 dapat dibendung segera.
“Saya minta seluruh rakyat sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan semoga kita sentiasa dalam perlindungan-Nya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.-UTUSAN