REMBAU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Undang Haji Adnan (DUHA), dekat sini, ditutup mulai esok hingga 29 Oktober ini berikutan seorang pelajarnya disahkan positif Covid-19 hari ini.
Menurut sumber, sekolah itu akan ditutup mulai esok dan semua pelajar asrama diminta pulang ke rumah masing-masing kecuali mereka yang berada di zon merah atau rentas negeri.
“Pihak sekolah turut mengarahkan ibu bapa menjemput anak-anak mereka di asrama pada petang ini sebelum pukul 6 petang.
“Pelajar yang positif Covid-19 berkenaan merupakan pelajar lelaki tingkatan satu. Tindakan ujian swab Covid-19 sedang dijalankan oleh kakitangan kesihatan membabitkan individu yang sama-sama menaiki van sekolah bersama pelajar yang disahkan Covid-19 berkenaan,” kata sumber itu lagi.
Sumber itu turut memberitahu, semua guru dan kakitangan sekolah kecuali pekerja pembersihan dan keselamatan diminta berada di rumah masing-masing dan menjalani kuarantin kendiri sehingga tarikh tersebut.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Rembau, Mohamad Najib Mustafa ketika dihubungi menyatakan setakat pukul 2 petang ini pihaknya masih belum memperoleh maklumat rasmi berkenaan penutupan berkenaan.
Sementara itu, dalam satu surat rasmi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd. Zaidi Ramli kepada Guru Besar, Sekolah Agama Rakyat (SAR) An-Nur Springhill di Port Dickson semalam (21 Oktober) menyatakan arahan penutupan sekolah berkenaan kerana pengesahan kes jangkitan Covid-19.
Menurut surat berkenaan, mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai pengurusan Covid-19 memutuskan bahawa mana-mana sekolah yang mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup untuk tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisa risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Berdasarkan surat bertarikh 21 Oktober yang mengesahkan terdapat jangkitan Covid-19 di sekolah (SAR An-Nur Springhill), sekolah diarah tutup mulai 22 (semalam) sehingga 28 Oktober ini.
“Guru-guru bekerja dari rumah dan melaksanakan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) di rumah berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses murid sepanjang penutupan sekolah,” menurut surat itu lagi.
Semalam, dilaporkan SMK Tunku Besar Tampin ditutup sehingga 28 Oktober ini dan hari ini dilaporkan Sekolah Tinggi Islam As-Sofa di Senawang iaitu sekolah swasta ditutup susulan pelajarnya positif Covid-19. -UTUSAN