Covid-19: Hanya Jabatan Kecemasan Hospital Tampin beroperasi - Utusan Malaysia

Covid-19: Hanya Jabatan Kecemasan Hospital Tampin beroperasi

GAMBAR tular dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa merupakan pesakit Covid-19 yang tiba di Hospital Tampin malam tadi bagi mendapatkan rawatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Hanya Jabatan Kecemasan sahaja yang beroperasi di Hospital Tampin bagi memberikan rawatan segera kepada kes kecemasan selepas hospital itu turut dijadikan hospital yang merawat pesakit Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, lain-lain urusan rawatan di Hospital Tampin akan dimaklumkan terus oleh petugas hospital tersebut kepada pesakit yang terlibat.

Sehubungan itu, menurut Suhaiza lagi, masyarakat dan penduduk di daerah Tampin tidak perlu gusar kerana segala urusan rawatan pesakit Covid-19 di hospital berkenaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan kerjasama pelbagai agensi.

“Susulan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di negeri ini, Hospital Tampin telah mula menerima dan merawat pesakit Covid-19 bermula semalam. 

“Langkah berkenaan bersifat sementara bagi membolehkan pesakit Covid-19 mendapat rawatan sewajarnya yang sebelum ini hanya dijalankan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di Seremban dan Hospital Rembau.

“Pesakit sedia ada yang menerima rawatan di Hospital Tampin sebelum ini di dalam wad telah dipindahkan ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, Hospital Jempol dan Hospital Jelebu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, tambahnya, masyarakat diingatkan agar tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat berkaitan situasi Covid-19 semasa di daerah ini.

“Tindakan tidak bertanggungjawab ini boleh menimbulkan kebimbangan dan mengugat keselamatan masyarakat setempat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya