Buruh warga asing ditangkap pecah masuk tiga rumah - Utusan Malaysia

Buruh warga asing ditangkap pecah masuk tiga rumah

Suspek berjaya ditangkap polis semalam di tapak perniagaan Blok 13, Felda Jelai 1 sekali gus membawa kepada penyelesaian tiga kes pecah rumah di kawasan Gemencheh dan Gemas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Seorang buruh warganegara Indonesia berjaya ditangkap polis selepas dipercayai terbabit dalam tiga kes pecah rumah di sekitar Gemencheh dan Gemas, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, suspek ditangkap di tapak perniagaan Blok 13, Felda Jelai 1, hasil daripada risikan polis selepas kejadian terbaharu pecah rumah penduduk di Felda Jelai 1, awal pagi, semalam.

Menurutnya, suspek berusia 33 tahun ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam serta disiasat di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah rumah dan juga seksyen 15 (c) Akta Imigresen 1959 susulan pasportnya sudah tamat tempoh.

“Dalam kejadian terbaharu kira-kira pukul 2.50 pagi di Blok 4, Felda Jelai 1, isteri mangsa ternampak kelibat seorang lelaki dipercayai warganegara Indonesia tidak memakai baju di dalam rumah.

“Mangsa telah menjerit dan lelaki Indonesia berkenaan terus melarikan diri melalui tingkap rumah. Mangsa mendapati tingkap nako di bahagian dapur telah dibengkokkan dan tiga keping cermin tingkap telah di buka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Anuwal berkata, mangsa kehilangan dua buah talefon bimbit, dua utas jam dan wang tunai RM160.

“Suspek kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, suspek bakal berhadapan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat bagi kesalahan kedua jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN