KUALA LUMPUR: Kawasan Kampung Gual Rimau di Bukit Tandak, Rantau Panjang, Kelantan tersenarai dalam projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dalam kenyataan di sini memberitahu, pelaksanaan projek BELB di kampung tersebut dijadualkan bermula pertengahan November 2020 dan siap pada Oktober 2022 dengan anggaran kos pembinaan sebanyak RM1.44 juta, melibatkan lapan buah rumah.
Kata syarikat itu lagi, kos yang tinggi dan memakan masa yang lama adalah kerana kedudukan rumah yang terletak jauh di pendalaman serta jauh dari sumber bekalan terdekat, selain memerlukan kerja-kerja pembinaan infrastruktur.
“TNB menggalas amanah sebagai pelaksana projek untuk menyalurkan bekalan elektrik di kawasan pedalaman menerusi projek BELB.
“Sehingga Julai lalu, TNB telah menyalurkan bekalan ke 26 perkampungan pedalaman di seluruh Semenanjung di bawah Program BELB KPLB, dengan kos berjumlah RM50 juta. Ia termasuk di Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff memberi jaminan akan berusaha sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah lebih 20 keluarga di Kampung Gual, Bukit Tandak di sini yang hidup tanpa bekalan elektrik sejak 50 tahun lalu.
Siti Zailah berkata, terbaharu, beliau sekali lagi akan merujuk perkara itu kepada pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi memohon bantuan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Kelmarin, penduduk Kampung Gual Rimau, Bukit Tandak di sini mengeluh dan masih lagi ‘kempunan’ untuk mendapatkan bekalan elektrik 24 jam meskipun beberapa kawasan sekitar sudah lama menikmati kemudahan itu.
Menurut dakwaan beberapa penduduk di situ, setiap kali tiba Pilihan Raya Umum (PRU) pelbagai pihak tampil ‘menabur’ janji untuk membantu menyelesaikan masalah itu, namun ia hanyalah cakap kosong sahaja. -UTUSAN