KUALA LUMPUR – Pihak pengurusan Siti Sarah dan Shuib menafikan dakwaan pasangan tersebut ditahan reman selepas dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memberi keterangan semalam.
Pengurusnya, Nana Mohamad Rom berkata, pasangan tersebut sudah selesai memberi keterangan sekitar pukul 11 malam tadi dan pulang ke rumah.
“Mereka tidak ditahan. Mereka hanya bantu siasatan,” jelasnya ringkas.
Dakwaan itu susulan lima individu termasuk seorang datuk akan ditahan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira pukul 3 petang ini bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Dalam pada itu, pengurus mereka juga tidak menolak kemungkinan pasangan tersebut akan dipanggil semula untuk membantu siasatan kes tersebut.
Shuib menerusi Instagramnya turut memuat naik gambar dan meluahkan rasa syukur serta berterima kasih kepada SPRM.
“Saya dipanggil untuk membantu siasatan berkenaan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001 dan terima kasih kepada SPRM kerana memberi layanan yang sangat baik sepanjang 23 jam siasatan.
“Saya anggap ini satu cabaran dan dugaan dalam bisnes. Doakan perniagaan BubbleBee kami terus maju dan memberi manfaat pada semua orang,” ujarnya.- ONLINE