BESUT: Penduduk di Kampung Pantai di Kuala Besut di sini gempar dengan kehadiran seekor buaya sesat yang tiba-tiba naik ke pantai di kampung itu hari ini.
Seorang penduduk, Mohd. Syafiq Hidayat Mohd. Izani, 20, berkata, buaya yang berjemur di tepi pantai itu, bagaimanapun bertindak kembali semula ke laut selepas kawasan itu dikerumuni orang ramai.
Katanya, kemunculan reptilia itu disedari semasa ibunya menjengah ke luar tingkap rumah mereka yang menghadap pantai sebelum menghubungi pihak berkuasa.
“Terdapat tiga kediaman di sini tetapi rumah kami yang paling hampir dengan pantai.
“Kami tidak pasti sudah berapa lama buaya itu berjemur di tepi pantai dan selepas menghubungi talian kecemasan 999, saya tengok buaya masih lagi berada di situ sebelum kembali ke laut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Mohd. Syafiq Hidayat, ini merupakan kali pertama buaya tiba-tiba muncul di pantai itu dan setakat pukul 6 petang tadi difahamkan reptilia itu masih timbul di permukaan laut.
Sementara itu, Timbalan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah, Leftenan (PA) Mohd. Fazli Mat Yusof berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.35 petang.
“Setibanya di tempat kejadian buaya itu masih berada di tengah laut dan kes kemudian diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.
“Ketika ini pegawai Perhilitan masih melakukan pemantauan di kawasan pantai,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Perhilitan Terengganu, Dr. Abdul Malek Mohd. Yusof, pihaknya kini membuat kawalan di lokasi kejadian dan jika buaya masih dikesan berada di situ proses menangkap dan memindahkannya ke habitat bersesuaian akan dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE