KUALA LUMPUR: Mana-mana pemimpin yang tidak memperjuangkan kepentingan parti boleh dibuang daripada UMNO.
Itu penegasan yang dibuat Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah harti ini menerusi status Facebooknya sebelum Majlis Tertinggi (MT) membuat keputusan berkenaan hala tuju kerjasama dalam Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan berlangsung di Pahang, esok.
Beliau berkata, sikap sedemikian turut mendapat reaksi negatif daripada akar umbi, seolah-olah kepemimpinan tidak menghormati perjuangan parti.
“Nak mendahulukan pimpinan parti lain. Mengapa begitu?
“Jadi, kalau inilah sikap mereka sebenar, mereka patut diambil tindakan, sampai boleh dibuang daripada parti kalau tidak memperjuangkan kepentingan parti sendiri,” katanya yang juga Ahli Parlimen Gua Musang.
Sebarang keputusan mesyuarat MT UMNO hari ini bakal menentukan hala tuju parti sekali gus mempengaruhi landskap politik negara termasuk kedudukan kerajaan PN.
UMNO akan menentukan kedudukannya dalam gabungan PN selepas meletakkan syarat baharu untuk meneruskan kerjasama politik.
Difahamkan, keputusan tersebut turut bergantung kepada hasil rundingan antara Perdanan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kelmarin. -UTUSAN