SHAH ALAM: Prihatin dalam usaha mengekang penularan Covid-19, Briged Negaraku menyumbangkan 800 peralatan perlindungan diri (PPE) kepada petugas barisan hadapan di dua hospital di Sabah.
Sumbangan PPE itu adalah hasil tangan banduan penjara Jelebu akan disumbangkan kepada Hospital Queen Elizabeth II dan Hospital Lahad Datu.
Penolong Setiausaha Briged Negaraku, Hasleenda Nazeri berkata, 500 set PPE akan disumbangkan kepada Hospital Lahad Datu manakala selebihnya akan diserahkan kepada Hospital Queen Elizabeth II.
Menurutnya, peralatan tersebut disumbangkan memandangkan pasukan perubatan di dua hospital tersebut memerlukannya untuk merawat pesakit Covid-19.
“Kita sedia maklum bahawa kes Covid-19 di Sabah masih lagi tinggi. Oleh demikian, kita mengambil inisiatif untuk menyumbangkan PPE ini kepada anggota perubatan yang bertugas di kedua-dua hospital tersebut.
“Set PPE ini terdiri daripada pelitup muka, gaun dan pelindung kasut dengan kos keseluruhan dianggarkan bernilai RM25,000,” katanya sidang akhbar selepas hadir ke Projek Sumbangan Kelengkapan Perlindungan Diri di Pusat Logisitik Pharmaniaga di Seksyen 15 di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hasleenda berkata, PPE tersebut dihantar melalui kurier Pharmaniaga dan dijangka tiba di dua hospital tersebut dalam tempoh dua minggu lagi.
“Sumbangan ke Sabah merupakan kali pertama berbanding sebelum ini kita hanya menghantar bantuan kepada pasukan petugas hadapan di dalam Semenanjung sahaja.
“Kita berharap dengan bantuan ini membantu dalam mengekang penularan Covid-19 dan pasukan petugas hadapan terus kuat semangat dalam merawat pesakit Covid-19,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE