Bot kargo dikemudi nakhoda tiada lesen ditahan - Utusan Malaysia

Bot kargo dikemudi nakhoda tiada lesen ditahan

BOT kargo yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas nakhoda yang mengemudinya didapati tidak mempunyai lesen di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari barat Tanjung Batu Putih, Lumut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot kargo selepas nakhoda yang mengemudinya didapati tidak mempunyai lesen.

Bot tersebut ditahan ketika berada di kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika dari barat Tanjung Batu Putih dekat sini lebih kurang pukul 2.30 petang semalam.

Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Shahrizan Raman berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh bot peronda agensi itu ketika melakukan rondaan dan penguat kuasaan di perairan negara ini.

“Ketika pemeriksaan dilakukan di bot berkenaan, didapati nama nakhoda tidak sama seperti yang tercatat pada lesen kapal itu,” katanya.

Katanya, bot tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu nakhoda tidak mempunyai lesen.

“Bot kargo bersama nakhoda dan tiga kru warga tempatan berusia antara 45 hingga 62 tahun kemudiannya dibawa ke jeti Pusat Tahanan Vesel di Kampung Acheh, Sitiawan pada pukul 4.45 petang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Shahrizan berkata, ketika ditahan bot tersebut membawa muatan ikan baja dan dalam perjalanan dari Pulau Pangkor ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan memperkukuh sempadan perairan negara khususnya melalui Op Benteng Laut di bawah National Task Force (NTF) dalam mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan.

Tambahnya, orang awam dan komuniti maritim perlu bertanggungjawab dan bekerjasama membanteras aktiviti jenayah, kemasukan PATI dengan menyalurkan maklumat yang membabitkan tekong, ejen serta tali barut ke talian NTF 011-6251 1123 atau talian Pusat Operasi Maritim negeri Perak 05-6838737. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN