Bomba terima lima panggilan sanitasi awam setiap hari - Utusan Malaysia

Bomba terima lima panggilan sanitasi awam setiap hari

Yahaya Madis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Sebanyak lima panggilan bagi melakukan kerja sanitasi awam diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri setiap hari sejak minggu lalu ekoran gelombang ketiga penularan Covid-19 di negara ini. 

Pengarah Bomba negeri, Datuk Yahaya Madis berkata, jumlah tersebut mencatatkan peningkatan ekoran pertambahan kes Covid-19 selain menerima kepulangan individu bergejala yang pulang dari Sabah. 

Bagaimanapun, beliau berkata, penduduk setempat tidak perlu panik sekiranya ada individu di kawasan mereka yang disyaki dijangkiti Covid-19.

“Sebagai pasukan barisan hadapan, kita akan membantu dari segi kerja-kerja sanitasi awam. Orang awam boleh berhubung dengan kita sekiranya memerlukan khidmat bomba bagi sanitasi serta bantuan sewajarnya. 

“Ada peningkatan panggilan bagi kerja sanitasi ini tapi tidaklah secara mendadak. Kita akan mendapat maklumat daripada Kementerian Kesihatan sebelum melaksanakan sanitasi di tempat awam yang dikunjungi individu disyaki,” katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan JBPM Negeri di sini hari ini. 

Yahaya berkata, bagi kerja sanitasi di tempat awam, ia bergantung kepada keperluan sama ada kawasan itu berisiko atau ada individu bergejala Covid-19. 

Katanya, pihaknya semalam telah membuat sanitasi awam di kawasan perumahan awam di Masai susulan penutupan sementara Pasar Awam Masai dan Pasar Muafakat Sabah@Johor sebagai langkah berjaga-jaga untuk membendung penularan pandemik Covid-19.

“Sekiranya kita dapati kawasan itu berisiko dan terdapat kes yang dikesan, barulah kita membantu bagi menjalankan sanitasi awam bagi mengelakkan penularan.

“Bagi kerja-kerja tersebut, kita akan pastikan anggota kita membuat persiapan rapi dan mendapat maklumat jelas sebelum mengambil tindakan susulan di kawasan yang dikenal pasti,” ujarnya. 

Sementara itu, sejak September lalu, JBPM Johor merekodkan 4,144 panggilan kecemasan melibatkan kebakaran, 686 insiden penyelamatan manakala 5,212 melibatkan panggilan khidmat khas kemanusiaan. 

Jelasnya, harta benda bernilai RM6.3 billion berjaya diselamatkan dengan kerugian dicatatkan bernilai kira-kira RM98 juta. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya