KUALA TERENGGANU: Anggota bomba mengambil masa hampir dua jam menanggalkan tiga jejari besi yang dipakai di jari seorang warga emas, kelmarin.
‘Operasi’ membantu lelaki gelandangan berusia 74 tahun itu merupakan yang paling lama pernah dikendalikan pasukan berkenaan kerana lazimnya operasi menanggalkan cincin tersangkut pada jari mangsa hanya mengambil masa kira-kira 15 minit.
Difahamkan jari pada tangan kiri warga emas itu membengkak selepas disarung tiga jejari besi hingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Sultan Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk menerima rawatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan bantuan khas menanggalkan jejari besi yang dijadikan cincin tersebut pada pukul 9.10 pagi.
Katanya, usaha menanggalkan jejari besi itu dilakukan tiga anggota bomba dengan menggunakan peralatan khas di wad HSNZ.
“Anggota bomba mengambil masa sejam 28 minit menanggalkan tiga jejari besi berkenaan,” katanya.
Rozizah berkata, usaha menanggalkan jejari besi itu agak sukar dan mengambil masa lama kerana diperbuat daripada besi padu.
Katanya, mangsa masih ditempatkan di wad HSNZ bagi rawatan lanjut.