TELUK INTAN: Seorang wanita warga emas terselamat dalam kebakaran yang memusnahkan rumahnya di Jalan Changkat Jong, Kampung Muhibbah, di sini hari ini.
Mangsa, Seah Saw Eng berusia 78 tahun yang terperangkap di bahagian dapur itu berjaya diselamatkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan.
Dalam kejadian pada pukul 9.45 pagi itu, mangsa yang tidak sihat dan mempunyai masalah penglihatan tinggal seorang diri di rumah manakala adik lelakinya keluar minum di kedai berhampiran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Ismail Mohd. Yunus berkata, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.48 pagi.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian didapati rumah tersebut terbakar kira-kira 80 peratus dan operasi memadam kebakaran segera dijalankan.
“Anggota juga dimaklumkan terdapat seorang wanita terperangkap di bahagian dapur rumah dan mangsa segera dibawa keluar melalui pintu bahagian dapur.
“Tiada kecederaan pada mangsa yang juga mempunyai masalah kurang daya penglihatan itu,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
Katanya, operasi memadam kebakaran itu turut dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang, Pasukan Bomba Sukarela Teluk Intan dan Batu 12.
“Rumah kelas B separuh batu separuh papan itu musnah terbakar 80 peratus. Operasi tamat pada pukul 11.50 pagi,” katanya. – UTUSAN ONLINE