KOTA BHARU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan berusaha membantu penduduk miskin di negeri ini khususnya di Kota Bharu di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi berkata, pihaknya akan berurusan dengan kerajaan pusat dan kerajaan negeri termasuk menerusi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi penempatan jangka masa panjang.
“Apa yang kita lihat sekarang, penduduk di sini khususnya yang tinggal di Kota Bharu amat padat dan kehidupannya juga agak miskin dan tinggal di rumah setinggan.
“Dalam hal ini pihak berkenaan perlu bekerjasama untuk menanganinya bagi memastikan kediaman dan kehidupan mereka yang lebih selesa.
“Malah, Kota Bharu dikenali bandar raya Islam dan sepatutnya perlu mengambil kira daripada segi tempat tinggal.yang selesa kepada penduduk miskin dan Islam bukan sahaja daripada sudut solat, berpuasa, haji dan amalan lain, tetapi cara kehidupan untuk beramal dan beribadat dengan kawasan selesa juga penting,” katanya selepas meninjau kawasan rumah setinggan di Kampung Sri Cemerlang, di sini, hari ini.
Tinjauan selama satu jam itu bagi bertanya khabar penduduk setinggan seramai 15 keluarga yang tinggal di situ berpuluh tahun lamanya, selain menyampaikan sumbangan bantuan berbentuk makanan.
Untuk peringkat awal, Bersatu akan berusaha menyediakan barang keperluan kepada penduduk tersebut termasuk daripada segi penanbahbaikan rumah, elektrik dan bekalan air serta beberapa keperluan yang sepatutnya supaya mereka mendapat pembelaan sewajarnya.
Mohamed Farid berkata, dalam pelan, Bersatu memerlukan kira-kira 2,000 unit PPRT dan diharap dapat disegerakan khususnya di Kota Bharu.
Katanya, tidak dinafikan pendapatan isi rumah khususnya di Kelantan adalah paling rendah dan jumlah purata serta tercicir atau tersisih peratusan agak tinggi.
“Kita harap Kelantan perlu membawa lebih banyak projek, penambahbaikan daripada sudut infra supaya ekonomi dapat lebih berkembang dengan baik.
“Sekarang kita lihat aktiviti ekonomi lebih kepada pelancongan dan industri makanan, tetapi tidak ke arah pembuatan dan lain-lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE