Beri beras, ‘bawa pulang’ emas - Utusan Malaysia

Beri beras, ‘bawa pulang’ emas

Arshad Abu
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Berpura-pura mahu memberikan sumbangan makanan tetapi sebenarnya hanya taktik untuk melarikan sejumlah wang tunai dan barangan kemas.

Itu modus operandi digunakan seorang lelaki dan wanita yang hadir ke rumah sepasang warga emas dengan membawa beras, gula dan tepung dalam kejadian curi di Kampung Tengah, Air Paabas, di sini kelmarin.

Kejadian tersebut yang berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari menyebabkan pasangan suami isteri masing-masing berusia 82 dan 83 tahun itu mengalami kerugian kira-kira RM7,000. 

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal dipercayai memberitahu warga emas terbabit untuk memberikan sumbangan makanan termasuk beras lima kilogram, gula, tepung, biskut dan bihun. 

“Suspek kemudian memberikan borang kepada mangsa untuk diisikan dan telah menggunakan tandas rumah tersebut, namun, mangsa tidak mengesyaki apa-apa sehingga kedua-dua mereka beredar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 

Arshad berkata, bagaimanapun kejadian curi itu hanya disedari semalam oleh mangsa dan mendapati kesemua wang tunai berjumlah RM950 serta barang kemas termasuk seutas rantai leher berloket, tiga bentuk cincin serta seutas rantai tangan yang diletakkan di dalam beg telah hilang.

“Wanita warga emas tersebut mempunyai masalah pendengaran, manakala suaminya mempunyai masalah penglihatan. 

“Pemeriksaan di rumah pengadu mendapati tiada pengawasan kamera litar tertutup mahupun saksi yang melihat kejadian, manakala jarak rumah pengadu dengan rumah jiran kira-kira 100 meter,” katanya. 

Ujarnya, pihak polis sedang giat menjejaki kedua-dua suspek tersebut dan menasihati orang ramai supaya berhati-hati serta jangan mudah mempercayai orang yang tidak dikenali.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi dalam bangunan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN