Belanjawan Selangor: RM200 juta tangani masalah pencemaran air - Utusan Malaysia

Belanjawan Selangor: RM200 juta tangani masalah pencemaran air

AMIRUDIN Shari (hadapan kanan) bercakap sewaktu pembentangan belanjawan 2021 di Pejabat Setiausaha Negeri Selangor pada hari ini. -UTUSAN/Zulfadhli Zaki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Dalam menangani masalah pencemaran air, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM200 juta untuk melaksanakan empat projek yang akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi Total Maximum Daily Load (TMDL) di kawasan yang ditetapkan.

Menurutnya, cadangan pindaan Enakmen LUAS akan diangkat untuk mendapatkan persetujuan di dalam Persidangan Dewan Negeri. 

“Kita juga akan melaksanaan Projek Perintis Rawatan Biologikal/BioRemediation bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sungai Gong menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti peletakan bahan nanoteknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Raw Water Treatment System (RWTS). 

“Projek perintis ini turut akan direplikasikan di Sungai Sembah, Sungai Beranang dan Sungai Buah berikutan tiga sungai ini dikenal pasti menjadi punca utama pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Langat,” katanya dalam sidang akhbar selepas Pembentangan Belanjawan 2021 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, dua lagi projek bagi menangani masalah pencemaran air di Selangor ialah pemantauan dan pengawasan melalui skuad PANTAS bagi membuat pemantauan 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat. 

Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menambahkan bilangan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal di hulu muka sauk yang berisiko. 

“Malah, dalam usaha untuk menjamin tiada henti tugas ke atas operasi Loji Rawatan Air (LRA) SSP 1, 2, 3, Rantau Panjang dan  Semenyih semasa berlaku insiden pencemaran sumber air, kita akan melaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan HORAS 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih. 

“Pelaksanaan ini dijangka akan siap dalam tempoh 18 bulan dengan memperuntukkan kos sebanyak RM200 juta. Malah, kita yakin dapat mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti-tugas di LRA yang menyebabkan gangguan bekalan air kepada 1.6 juta akaun pengguna akibat pencemaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, ketika pembentangan, Amirudin berkata, pihaknya juga akan menggantikan paip-paip usang yang telah dikenal pasti dengan perbelanjaan kos sebanyak RM579 juta.

Katanya, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menyasarkan penurunan kadar air tidak berhasil kepada 25 peratus pada tahun 2025 dan bagi merealisasikan sasaran tersebut,  kerja-kerja penggantian paip utama yang dianggarkan sepanjang 6,000 kilometer (km) di seluruh Selangor termasuk Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

“Air Selangor menyasarkan pelaksanaan penggantian paip-paip usang berdasarkan kepada pemilihan hotspot kawasan kekerapan paip pecah dengan nisbah 150 km paip setahun. Sehingga kini, sebanyak 303 hotspot merangkumi 716 km paip telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah Program Penggantian Paip bagi tahun 2016 hingga 2020. 

“Kos yang telah dibelanjakan bagi tahun 2016 hingga 2019 adalah sebanyak RM529 juta dan bagi tahun 2020 hingga 2022 adalah sebanyak RM579 juta,” ujarnya.

Terdahulu, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2.32 bilion bagi perbelanjaan tahun 2021. 

Dengan bertemakan ‘Melakar Realiti Baharu: Memperkasa Ekonomi Bermaruah Paksi Kecekalan Rakyat’, belanjawan itu turut memfokuskan lima strategi utama iaitu Pertanian, Pelancongan dan Agropelancongan; Kesihatan Awam dan Bandar Berdaya Huni; Usahawan Mikro, Digitalisasi & Kemiskinan Bandar; Penciptaan Kekayaan dan Industri Kreatif. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN