PONTIAN: Selepas bersara, bekas Pegawai Kewangan Negeri Johor, Mohd. Nasir Abd. Salam kini lebih selesa menceburi bidang pertanian yang jauh daripada tugas-tugasnya sebelum ini sebagai Pegawai Tadbir Negeri.
Menurut Mohd. Nasir, 63, beliau mula merasai keseronokan persaraan dengan ‘pejabat baharu’ di sebuah kebun terletak di Kampung Parit Keroma Darat, Ayer Baloi di sini dengan suasana hijau dan kedamaian di samping ribuan pelbagai tanaman.
“Sebelum bersara, saya ada terfikir apakah yang perlu dilakukan untuk mengisi masa lapang selepas pencen nanti? Maka pelbagai idea bermain di kepala saya.
“Jadinya saya mengambil keputusan untuk mengusahakan sebidang tanah seluas 2.4 hektar dengan aktiviti bercucuk tanam dan inilah pejabat baharu saya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Kata Mohd. Nasir, memandangkan beliau kurang arif mengenai kerja-kerja cucuk tanam, maka kerja-kerja penanaman dibantu oleh sepupunya, Taufik Beraiman, 33, yang juga tinggal di kampung sama.
“Untuk mengusahakan tanah ini, antara kerja perlu dilakukan ialah menebang pokok-pokok lama termasuk kerja pembersihan dan pembinaan infrastruktur asas sistem perparitan, jalan, pemasangan pagar dan sebagainya.
“Selain itu, ujian tanah juga perlu dilakukan bagi melihat kesesuaian tanah serta lain-lain langkah yang perlu sebelum anak benih tanam dapat ditanam,” katanya.
Jelas beliau, untuk keluasan tanah 0.4 hektar, ia ditanam dengan pelbagai tanaman dusun seperti buah durian jenis musang king, durian belanda, rambutan, mempelam, belimbing dan manggis.
Beliau juga bercadang menjadikan kebunnya sebagai tempat tarikan agro pelancongan dan pembelajaran dalam kalangan kaum keluarga serta sahabat handai sambil menikmati keindahan tumbuh-tumbuhan.
“Begitu juga dengan tanaman dusun sekiranya telah berhasil atau berbuah, mereka dapat nikmati bersama-sama di samping dapat memperkenalkan tanaman tersebut kepada mereka yang berkunjung ke kebunnya,” ujarnya. -UTUSAN