SHAH ALAM: Seorang bekas ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah membeli 20,000 unit tablet melibatkan kerugian RM31.6 juta empat tahun lalu.
Tertuduh, Her Chor Siong, 48, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif di Syarikat Cuscapi Berhad membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Rozilah Salleh selepas pertuduhan dibacakan juru bahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh membeli 10,000 unit Rev Industrial Tablet Type CX 1000-A102S dengan kadar (RM2,418.21 bagi setiap unit tanpa mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Cuscapi Berhad yang mana perbezaan kenaikan harga ialah RM1,250.65 bagi setiap unit berbanding harga asal RM1,167.56
Perbuatan tertuduh telah menyebabkan kerugian RM506, 1399.12 ke atas pembelian tersebut.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di Tingkat 1, Peremba Square Saujana Resort pada 4 Oktober 2016.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh membeli 10,000 unit yang sama dengan kadar RM2,418.21 bagi setiap unit tanpa mendapat kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Cuscapi Berhad yang menyebabkan kerugian RM26,549,548.37 juta ke atas pembelian tersebut.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di lokasi yang sama antara 1 Oktober 2016 dan 9 April 2018.
Bagi kedua-dua pertuduhan ini, tertuduh didakwa melakukan suatu kesalahan dibawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan akta yang sama dan jika disabitkan bersalah boleh dipenjara tidak melebihi 10 tahun dan dengan sebat dan dikenakan denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Allan Suman Pillai dan Maziah Mohaidi menawarkan jaminan RM500,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Peguam mewakili tertuduh, Rueban Kumar bersetuju dengan tawaran pihak pendakwa, namun membantah pasport anak guamnya ditahan ke mahkamah berikutan tertuduh sentiasa beri kerjasama dan tidak berisiko melarikan diri.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh diarahkan menyerahkan pasport kepada mahkamah tetapi boleh membuat permohonan jika mempunyai urusan di luar negara serta tarikh sebutan pada 27 November ini. – UTUSAN ONLINE